Sunday 4 November 2012

Definisi Bahasa


Menurut Zulkifley Hamid (2007), bahasa digunakan oleh manusia untuk dua tujuan utama, iaitu untuk menyampaikan maklumat yang terbit daripada akal budi atau pemikiran mereka kepada khalayak pendengar atau pembaca, dan juga untuk membolehkan mereka menerima maklumat daripada persekitaran, sama ada dalam bentuk ransangan lisan atau tulisan. Sebagai suatu unsur yang dinamik, bahasa sentiasa dianalisis dan didekati dengan menggunakan pelbagai pendekatan untuk mengkajinya. Antara pendekatan yang dapat digunakan untuk mengkaji bahasa ialah pendekatan makna. Bidang makna atau semantik, yang sebenarnya menjadi sebahagian daripada ilmu linguistik ini, menjadi suatu hal yang amat penting memandangkan hal kajian bahasa tidak akan sempurna jika tidak ada unsur makna. 
      Perkataan semantik (bahasa Inggeris ‘semantics’) berasal daripada bahasa Yunani ‘sema’ yang beerti tanda atau lambang. Dalam bidang linguistik, semantik ialah bidang kajian yang mengkaji makna atau erti dalam bahasa.(Nik safiah Karim dan Wan Malini Ahmad, 2006). Selain itu,  semantik dapat ditakrifkan sebagai “Kajian makna linguistik bagi kata, frasa, dan ayat” atau “kajian makna tentang bentuk-bentuk linguistik”. (Abdul Aziz Abdul Rahman,Masuri Ahmad, 2010). Manakala, Dewan Bahasa dan Pustaka, edisi keempat (2007), mendefinisikan semantik sebagai “Kajian tentang makna perkataan dan penambahan makna sesuatu kata”.
     Terdapat juga pandangan lain yang diberikan terhadap pengertian semantik seperti, Dewan Bahasa dan Pustaka (1986) pula memberi pandangan bahawa semantik merupakan   “ilmu mengenai erti atau perubahan erti kata-kata”. “Menurut  Zabech, semantik dalam peristilahan moden digunakan dengan maksud ‘kajian tentang hubungan antara item-item bahasa seperti perkataan, penamaan (nama am dan nama khas), ekspresi predikat. Kata semantik berasal daripada kata adjektif bahasa Yunanisemant ickos yang membawa makna significant iaitu‘penting’ atau ‘beerti’”.( Hashim Musa, Ong Chin Guan, 1998).
    Bagi Nik Safiah Karim (2001), beliau mendefinisikan semantik sebagai “Dalam bidang linguistik, semantik ialah bidang yang mengkaji makna atau erti dalam bahasa”. Merujuk kepada Abdullah Hassan (2007) pula, istilah semantik berasal daripada perkataan Yunani kuno iaitu sema yang bermaksud ‘isyarat’. Seterusnya, daripada perkataan inilah terbit istilah semantik bagi menamakan satu bidang ilmu yang mengkaji makna. Menurut Zulkifley Hamid (2007) lagi, semantik merupakan satu daripada cabang ilmu linguistik yang memfokuskan kajian kepada makna yang terkandung dalam sesuatu bahan bahasa, pada peringkat kata, frasa, klausa atau ayat.
     Walau bagaimanapun, dalam mengungkapkan sesuatu perkara (sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan) seseorang individu tidak mengungkapkannya dalam satu ayat sahaja, tetapi gabungan atau jalinan bebapa ayat. Gabungan  beberapa ayat ini akan membentuk kesatuan yang utuh dipanggil wacana. Menurut Asmah Hj. Omar dalam Nik safiah Karim dan Wan Malini Ahmad (2006), wacana ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat. Oleh itu, wacana boleh terdiri daripada ayat sejumlah ayat, ceraian bab, buku, siri buku dan lain-lain lagi. Bagi Harimurti Kridalaksana dalam Nik safiah Karim dan Wan Malini Ahmad (2006) pula, wacana merupakan satuan bahasa terlengkap dalam hierarki tatabahasa yang tertinggi.